Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) dijangka mengumumkan hukuman penggantungan buat Mohd Hafifi Mansor dalam tempoh dua minggu lagi, sekaligus membuktikan badang negara itu tidak akan terlepas ekoran positif bahan terlarang.

Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sudah menghubungi IWF selepas nama Hafifi tidak berada dalam senarai atlet yang digantung untuk musim 2017 dan hukuman akan diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi, iaitu selepas Jawatankuasa Anti-doping IWF bersidang dalam masa terdekat.

Perkara itu menyaksikan kes Hafifi masih dalam perhatian IWF walaupun dia dikesan positif pada Mac tahun lalu.

"Ujian sampel B tetap positif, jadi saya rasa kami hanya menunggu kata putus daripada pihak IWF.

"Saya tidak rasa dia akan terlepas daripada sebarang hukuman. Hanya masa menentukannya dan buat masa sekarang, dia tidak boleh menyertai sebarang kejohanan," kata Presiden PABM, Datuk Ong Poh Eng.

Hafifi dikesan positif bahan terlarang jenis oxymetholone, sejenis ejen steroid, ketika menyertai Terbuka Australia, Mac tahun lalu dan dia sudah menjalani ujian sampel B namun keputusannya tetap positif.

Jika didapati bersalah, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 itu bakal berdepan penggantungan maksimum empat tahun.