Huang Qiang dihadap ke mahkamah

Oleh Penulis Jemputan 11 Oktober 2017 28
Huang Qiang dihadap ke mahkamah
Jurulatih Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Huang Qiang, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini di atas kesalahan merogol seorang atlet acara terjun, bulan lalu.

Pengendali berusia 35 tahun itu, yang juga bekas juara dunia, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan hakim, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Tertuduh pernah memenangi emas acara terjun 10 meter seirama dalam Kejohanan Terjun Dunia FINA pada tahun 2000 bersama rakan senegaranya dari China ketika itu, Tian Liang.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Huang didakwa merogol atletnya, yang berusia 20 tahun, di dalam Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Sri Petaling, pada jam 5.30 petang, 26 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis dua kali sebulan.

Tertuduh juga dilarang mengganggu, menghubungi dan mengugut saksi serta menetapkan 6 November ini untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen