Atlet program Road to Tokyo (RTT) kem bukit jalil memulakan sesi latihan pertama dengan prestasi perenang, Khiew Hoe Yan terjejas hingga 30 peratus.

Namun, dia bernasib baik kerana rakan sepasukan lain perlu menunggu lampu hijau kerajaan untuk turun berlatih.

Hoe Yan dapat pelepasan berlatih awal selepas dipilih sebagai rakan sepelatih perenang utama negara, Welson Sim.

Perenang berusia 18 tahun itu mengakui tempoh rehat selama tiga bulan menjejaskan prestasi namun masalah itu dapat diatasi dengan latihan secara konsisten.

Buat masa ini, keutamaan Hoe Yan ialah mendapatkan rentak semula.

"Saya berasa sangat gembira kerana dapat kembali berlatih dan mengharapkan peningkatan yang lebih tinggi bagi saingan pada tahun akan datang," kata Hoe Yan.

Pada usia 18 tahun, Hoe Yean telah cipta banyak kejayaan, antaranya lapan pingat emas dalam Kejohanan Peringkat Bawah Umur Kebangsaan Mac lalu selain turut membuat penampilan sulung dalam peringkat senior antarabangsa dalam Sukan SEA Filipina 2019 dengan meraih dua gangsa.

Sementara itu, apa pula reaksi rakan sepelatih, welson sim dan penerjun negara, Ooi Tze Liang sebaik kembali berlatih?



"Ini merupakan kali pertama berasa sangat janggal di dalam kolam renang. Tempoh latihan yang dipendekkan namun ia agak memenatkan selepas lama tidak berlatih," kata Welson.

"Lega kerana dapat kembali berlatih. Walaupun sukan terjun bukan hanya berlatih di kolam, tetapi beberapa langkah seperti latihan bagi meningkatkan kekuatan fizikal amat penting," kata Tze Liang.

Sementara itu, hari pertama di gimnasium Majlis Sukan Negara (MSN), menyaksikan ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, teruja kembali ke gelanggang latihan.



"Saya sangat gembira kerana kembali berlatih, perkara paling penting kami telah mula kembali menjalani latihan teknikal di gimnasium," katanya.