Pendatang baru dalam skuad futsal kebangsaan, Hazizi Mansor, mengakui teruja selepas dipilih untuk membarisi pasukan negara menjelang Kejohanan AFF bulan depan.

Selepas skuad kendalian Chiew Chun Yong itu berjaya meraih pingat perak dalam saingan SEA 2017, bulan lalu, Hazizi bertekad ingin meneruskan peningkatan prestasi pasukan negara.

Pemain pivot KL City dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan itu menyifatkan ia menjadi satu kebanggaan untuk membarisi barisan negara sambil mengakui skuad terkini adalah pasukan terbaik yang berjaya dibentuk dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Selaku pendatang baru, Hazizi mengakui dirinya perlu menggandakan usaha dan banyak belajar daripada tonggak senior seperti Mohd Khairul Effendy Bahrin, Firdaus Razali dan Abu Haniffa Hassan.

“Apa yang saya dengar, pasukan kali adalah skuad terbaik daripada segi taktikal disiplin, jadi diharapkan peningkatan ini akan dapat diteruskan dan saya dapat menyesuaikan diri,” ujarnya.

Sementara itu, Chun Yong turut mahu melihat skuad kendaliannya meneruskan kesinambungan daripada aksi cemerlang Sukan SEA lalu apabila beraksi di Vietnam bulan depan.

Skuad negara berada dalam Kumpulan B bersama Thailand, Timor Leste dan Laos untuk saingan kali ini dan Chun Yong mahu pasukannya meletakkan fokus penuh untuk memastikan laluan ke separuh akhir dapat dilaksanakan.

“Diundi bersama Thailand bukanlah satu undian yang berat sebelah kerana kekuatan pasukan lain juga harus diambil kira.

“Buat masa ini, sasaran yang saya tetapkan adalah separuh akhir, kemudian ia akan dikaji semula dari semasa ke semasa,” kata Chun Yong.