Hasrat wakil negara, Westports Malaysia Dragons memperoleh kemenangan dalam aksi sulung di laman sendiri tidak kesampaian selepas tunduk kepada kelab China, Chong Son Kung Fu, dalam saingan Liga Bola Keranjang ASEAN (ABL), semalam.

Dragons turun dalam pertemuan ini dengan penuh keyakinan selepas meneewaskan Mono Vampire dari Thailand dalam aksi pembukaan di Bangkok, Sabtu lalu.

Kung Fu pula memburu kemenangan ketiga berturut-turut untuk terus mengukuhkan kedudukan di puncak liga.

Awal permainan menyaksikan Kung Fu lebih menguasai permainan, dengan diterajui aksi kemas Justin Howard bagi mendahului suku pertam, 27-19.

Memasuki suku kedua, Dragons tampil dengan permainan lebih tersusun bagi menyaingi pelawat dengan pemain import baru, Curtis Washington, dan berjaya memperoleh beberapa mata penting.

Hasilnya, Dragons memintas Kung Fu bagi kedudukan 46-40 menuju rehat.

Bersambung dalam suku ketiga, Dragons dan Kung Fu saling saling berbalas kutipan mata tetapi pasukan pelawat mempamerkan aksi yang lebih unggul apabila kembali di depan.

Mereka terus mengekang kemaraan Dragons pada suku terakhir dan hasilnya kemenangan 91-86 berjaya dilakar, dengan Howard memperoleh 31 mata secara keseluruhan.

"Kami masih gagal mempamerkan persembahan terbaik dalam perlawanan ini. Terdapat beberapa ketika, pemain-pemain gagal memberikan fokus dan ia menghukum pasukan," kata jurulatih Westports Malaysia Dragons, Chris Thomas.