Pemanah para negara, Hasihin Sanawi, lega masih diterima untuk mengikuti Program Majlis Sukan Negara (MSN) walaupun atlet yang yang gugur daripada Program Podium seharusnya kembali ke negeri masing-masing.

Atlet itu akur dengan keputusan Program Podium, namun pada masa yang sama lega masih diberikan peluang untuk bersama dengan Program MSN di bawah kendalian jurulatih, Marzuki Zakaria.

Hasihin sepatutnya kembali ke persatuan negeri, namun di atas usaha Marzuki sendiri, namanya dibawa ke Program MSN untuk memudahkannya menjalani latihan bagi Sukan Para Asia Indonesia tahun
depan.

Sungguhpun sepanjang bersama Program Podium, Hasihin tidak menerima kemudahan jurulatih dan penyertaan kejohanan pada peringkat tertinggi sebagai pendedahan, dia akur dengan ketentuan itu.

"Untuk memasuki Program Podium menerusi sukan memanah ini bukannya mudah.

"Pihak Program Podium memberitahu kalau saya menunjukkan prestasi yang baik dalam tempoh enam bulan ini, kemungkinan besar saya akan diserap semula ke dalam program itu. Saya akan buat yang terbaik. Insya-Allah," ujarnya.

Dalam pada itu, elaun Program Podium sebanyak RM4,500 yang diterima Hasihin berubah kepada RM1,000 sebaik dia bersama Program MSN pada Mac depan.

"Daripada segi elaun, ia agak berbeza. Rezeki itu boleh cari di mana-mana, yang penting kita usaha dan berdoa. Insya-Allah, Allah akan makbulkan doa kita," katanya.