Hari Sukan Negara terus menjadi agenda utama dalam memupuk budaya bersukan dalam kalangan rakyat Malaysia, selaras dengan tema mentaliti kemenangan yang diterapkan kontinjen negara.

Memasuki penganjuran edisi ketiga, Hari Sukan Negara pada hari ini kekal menjadi peneraju utama dalam memastikan tranformasi ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ingin melihat Hari Sukan Negara sebagai wadah ataupun platform buat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira had umur untuk mengamalkan gaya hidup sihat menerusi budaya bersukan.

“Moga-moga Hari Sukan Negara akan menjadi terus menjadi wadah untuk kita memupuk agar hari-hari kita bersukan,” kata Najib.

Najib berkata demikian selepas melancarkan sambutan Hari Sukan Negara 2017 di bandar sukan Kuala Lumpur.

Turut mengiringi beliau adalah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Hadir sama beberapa atlet kebangsaan antaranya Cheong Jun Hoong daripada sukan terjun, atlet bowling, Syaidatul Afifah, Irfan Shamsuddin (lempar cakera) di samping trio atlet para olahraga, Ziyad Zolkefli, Latif Romly dan Ridzuan Puzi.

Antara kelainan bagi penganjuran kali ini ialah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) buat julung kali membuka segala kemudahan milik mereka di seluruh negara secara percuma kepada umum.

Pelbagai aktiviti sukan dilangsungkan di sekitar kawasan bandar sukan Kuala Lumpur antaranya berbasikal, larian serta sukan tradisional.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, memainkan peranan berbeza apabila menjadi pakar motivasi dan moderator kepada 40 anak yatim Rumah Kesayangan Petaling Jaya dan Stepping Stone Living Centre Taman Seputeh.

Malah, bintang negara daripada kalangan Olimpian seperti Datuk Lee Chong Wei, beregu elit, Goh V Shem, Tan Wee Kiong serta Goh Liu Ying turut meninggalkan kenangan manis kepada tetamu khas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu.

“Mereka mendapat peluang untuk hadir di sini dan melihat ikon.

"Inilah yang kami dapat pulangkan kepada mereka apa yang kami tahu.

"Mereka kelihatan gembira dan pemain kebangsaan juga gembira dapat berkongsi tentang permainan.

"Tempoh bersama mereka mungkin terlalu singkat, tetapi yang penting adalah perhatian dan kasih sayang yang kami berikan.

"Kalau suatu hari nanti mereka tidak menjadi pemain badminton sekalipun, ia memupuk minat yang mendalam kepada mereka,” kata Misbun.