Bahang Hari Sukan Negara kian terasa dengan sambutan pra terbesar menerusi karnival tiga hari Unit Penyelarasan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU-JPM) di Bangi.

Seramai 800 penjawat awam dari seluruh negara memeriahkan karnival yang bermula sejak semalam, dengan kerjasama Koperasi Profesional Putrajaya.

Karnival yang julung kalinya dianjurkan bersempena edisi kedua Hari Sukan Negara, menampilkan program yang mempertandingkan tujuh jenis sukan.

Selain sukan teras seperti bola sepak dan badminton, peserta turut bersaing sengit dalam acara ping pong, bola jaring, bola tampar, karom dan bowling tenpin.

Saingan hari kedua dimeriahkan dengan kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menjelang sambutan besar-besaran Hari Sukan Negara esok.

Malah, Najib turut mengambil kesempatan membangkitkan keghairahan peserta menerusi aksi ping pong menentang Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Sambutan Hari Sukan Negara bakal dimeriahkan dengan penglibatan atlet utama negara, termasuk pemenang pingat Sukan Olimpik dan Paralimpik, Datuk Lee Chong Wei dan Ridzuan Puzi.