Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hassan, akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam masa terdekat untuk menentukan hala tuju skuad compound yang direhatkan daripada program senior pada tahun depan.

Persatuan itu sedang mencari jalan terbaik bagi memastikan pemanah compound negara kembali turun ke Bukit Jalil.

Ia susulan keputusan MSN merehatkan skuad compound kerana acara itu tidak dipertandingkan dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun depan walaupun cemerlang ketika Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Justeru, NAAM perlu mencari jalan untuk memastikan nasib pemanah compound tidak terabai.

"Kami masih tidak dapat lagi pengesahan penyertaan dalam Sukan Asia, sebab mungkin temasya sukan itu tiada acara berkenaan. Tetapi ia (latihan perlu) untuk Sukan SEA 2019," katanya.

Semua pemanah compound kembali ke kampung halaman masing-masing apabila program itu dihentikan selepas tamat Sukan SEA.

Pemenang dua pingat emas, Mohd Juwaidi Mazuki, kini meneruskan perniagaan di Melaka sambil dibantu Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip. Kebanyakan pemanah wanita pula penyambung pengajian.

Compound belum tentu dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina 2019, namun mereka masih boleh bertanding dalam Grand Prix Asia dan Grand Prix Dunia, tahun depan.