Sentuhan awal Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Dwayne Miller, meningkatkan keyakinan pelari pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi bahawa dia mampu melakukan catatan 10.05 saat -- menyamai had kelayakan Sukan Olimpik Tokyo.

Persoalanannya, berapa lama masa diperlukan oleh Haiqal?

Haiqal menyertai sesi latihan skuad pecut negara di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil sejak Isnin lalu.

Hasilnya, pelari terpantas Asia Tenggara Sukan SEA Filipina itu yakin Miller mampu membantunya melakukan catatan masa yang lebih baik.



"Ini merupakan satu permulaan bagi saya berlatih bersama Miller. Saya perlu segera mendapatkan keselesaan berlatih bersama beliau," kata Haiqal.

"Tidak banyak beza dengan latihan dengan jurulatih Md Poad Kassim. Cuma daripada segi latihan yang mengutamakan kekuatan dan ketahanan. Jika saya dapat memberikan tumpuan berlatih di sini, tidak mustahil untuk memperbaiki catatan masa terbaik."