"Dia amat mengenali saya."

Raja pecut Asia Tenggara, Haiqal Hanafi, mungkin terpaksa melupakan hubungan akrab yang ibarat bapa dan anak di antaranya dan jurulatih kesayangannya, Mohd Poad Md Kassim.

Walaupun sukar tetapi itulah yang perlu dilakukan Haiqal bagi memberi fokus penuh kepada kariernya, sekali gus berada di bawah bimbingan Majlis Sukan Negara (MSN).

Tempoh enam tahun sudah cukup untuk membuktikan bahawa Poad merupakan yang selayaknya untuk membimbing atlet kelahiran Negeri Sembilan itu.

Apatah lagi apabila Haiqal berjaya mencipta kejutan meraih pingat emas dalam penampilan pada saat-saat akhir Sukan SEA Filipina 2019 yang menyaksikannya menggantikan rakan sepasukan, Zulfiqar Ismail, yang mengalami kecederaan.

Namun, Haiqal menjelaskan bahawa dia terpaksa bersedia jika perpisahan adalah jawapan bagi menjamin kariernya untuk jangka masa panjang.

"Sudah semestinya saya mahu kekal dilatihnya.

"Saya berasa sedih sebab dia sudah tahu corak latihan mahupun masalah kecederaan.

"Kemungkinan tiada jurulatih yang boleh memahami saya selain Poad, jadi ia akan mengambil sedikit masa untuk serasi kerana perbezaan kaedah berlainan," katanya dalam perkongsiannya bersama wakil Nadi Arena, Haliza Hamzah di Bukit Jalil, hari ini.

Dalam masa sama, Haiqal sedang menjalani latihan bersama barisan pelari pecut yang lain di bawah program kendalian jurulatih dari Amerika Syarikat (AS), Dwayne Miller.

Ia sebagai persiapan ke Kejohanan Berganti-ganti Asia Tenggara di Bangkok, Thailand, pada April tahun depan yang turut menawarkan slot ke Sukan Olimpik Tokyo bagi acara 4x100 meter.

"Kami dibarisi enam pelari yang terdiri daripada Zulfiqar, Muhammad Aqil Yasmin, Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa, Nixon Kennedy termasuk saya yang saling bersaing untuk mencatat masa terbaik bagi mengisi empat tempat yang ditawarkan.

"Pesaing utama saya ketika ini ialah Jonathan memandangkan ketiadaan Zulfiqar dan Khairul Hafiz pada tahun lalu."