Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, bersedia untuk membantu Khairul Idham Pawi untuk menyesuaikan diri dalam kategori itu musim hadapan jika Khairul menghadapi kesulitan walaupun mereka mewakili pasukan yang berbeza.

Oktober lalu, pasukan Honda Asia mengumumkan Khairul Idham akan beralih ke kategori Moto2 pada musim hadapan.

Secara peribadi, Hafizh berasakan peralihan itu terlalu cepat memandangkan Khairul masih baru dalam arena MotoGP.

Namun, sebagai pelumba negara yang sudah bersaing dalam saingan Moto2 sejak 2011, Hafizh sedia menawarkan khidmat nasihat bagi membantu Khairul untuk menyesuaikan diri dalam kategori baru.

"Saya sedia membantu dia kerana saya bukan jenis yang kedekut ilmu dan saya percaya satu hari nanti dia akan memperbaiki teknik tunggangannya untuk menjadi lebih bagus.

"Ilmu yang saya kongsikan dengannya, saya berharap dia akan menggunakannya untuk memberikan persaingan yang hebat," jelasnya.

Dalam saingan Moto3, Khairul menggunakan jentera berkelajuan 250cc dan dia bakal beralih ke 600cc apabila bersaing dalam Moto2.

Hafizh, yang melakar pencapaian menakjubkan musim ini dengan menduduki tangga kesembilan keseluruhan, menyifatkan usaha kerasnya berbaloi meskipun kempunan untuk menaiki podium.

"Untuk tahun ini, saya bersyukur kerana melepasi sasaran, iaitu mengumpul mata lebih daripada 100, di mana saya menamatkan perlumbaan dengan 118 mata untuk 18 pusingan musim ini.

"Saya akan cuba untuk meneruskan aksi cemerlang pada 2017 dan memberikan persaingan yang lebih baik."