Badang negara, Hafifi Mansor, perlu menghadapi Jawatankuasa Siasatan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dalam tempoh dua minggu ini jika mahu menyelamatkan kariernya selepas disahkan positif bahan terlarang.

PABM sudah menghubungi Hafifi bagi memaklumkan keputusan sampel B sehingga dia mendakwa menjadi mangsa khianat, bulan lalu.

Ia satu-satunya peluang untuk mengurangkan hukuman maksimum penggantungan selama empat tahun yang dihadapinya.

"Sebuah jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan dan pada masa sama, kami akan menghantar surat kepada Hafifi untuk membuat pembelaan serta menentukan siapa yang ingin dibawanya.

"Kami baru sahaja menerima (keputusan) sampel B itu dan kami sedang dalam proses untuk menentukan ahli jawatankuasanya," ujar pemangku Setiausaha Kehormat PABM, Abu Hanapah Ismail.

Hafifi dikesan positif oxymetholone, sejenis ejen steroid ketika menyertai Terbuka Australia, Mac lalu.

Ini bermakna Hafifi tidak akan mempertahankan pingat emas kategori 69kg dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, April depan.

Malah, tempatnya tidak dapat digantikan rakan sepasukan kerana jurang ranking kelayakan temasya yang terlalu jauh.