Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, hari ini meluahkan rasa terkilan apabila kerajaan negeri hanya dimaklumkan berhubung penganjuran GP Terjun FINA di Pusat Akuatik Sarawak, sekitar seminggu lalu.

“Ia hanya dibawa ke kabinet negeri pada Isnin lalu, dan saya telah diarahkan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, untuk memastikan acara ini berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas perasmian acara tersebut di Kuching pagi tadi.

Manyin berkata, jika penganjur, iaitu Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS) memaklumkan perkara itu lebih awal, iaitu sebulan atau dua sebelum ia dilangsungkan, banyak perkara boleh diperbaiki dan dibantu.

“Ini bukan acara kecil. Ia acara peringkat antarabangsa. Ia bukan sahaja membawa imej Sarawak, malah mencerminkan imej negara.

“Malangnya, kami dimaklumkan begitu lewat dan menyukarkan kami untuk menghulurkan bantuan, baik kewangan mahupun kempen publisiti dan media.

“Malah, kami boleh mengarahkan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk terlibat sama dengan mengadakan sambutan kebudayaan di lapangan terbang,” katanya.

Ujarnya lagi, Adenan sendiri mengarahkannya memberikan apa sahaja bentuk bantuan, termasuk kewangan, untuk memastikan acara itu berjalan lancar.

Biarpun terkilan, Manyin berkata kerajaan negeri dan kementeriannya tetap akan memberi bantuan sedaya-upaya yang mungkin.

“Kami amat mengalu-alukan acara seperti ini kerana kami sedar semakin ramai anak muda dari Sarawak mula berjinak-jinak dalam acara ini selepas menyaksikan ikon mereka, Pandelela Rinong, cemerlang di peringkat dunia dan Olimpik.

"Dengan penganjuran bertaraf antarabangsa, yang menyaksikan peserta terbaik dan terhebat di dunia beraksi, sudah pasti ia akan memberi rangsangan, inspirasi dan motivasi kepada atlet-atlet muda di negeri ini untuk mengikut jejak mereka," katanya.

Kejohanan GP Terjun FINA itu menyaksikan penyertaan seramai 43 penerjun bertaraf dunia. Antaranya termasuklah 10 penerjun dari Malaysia, China (12), Amerika Syarikat (6), Kanada (5) Australia (4), Rusia (2), Singapura (2) dan Hong Kong (2).

Pusat Akuatik Sarawak di Petra Jaya, Kuching, menjadi pilihan kerana Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil sedang dalam proses naik taraf.

“Biarpun pertama kali dianjurkan di luar Kuala Lumpur, saya percaya ia merupakan peluang penganjuran yang baik untuk negeri Sarawak dan berharap ia bukan yang terakhir.

“Oleh itu, saya berharap pihak ASUM dapat mempertimbangkan penganjuran yang serupa pada masa akan datang, dengan masa yang lebih panjang, agar kerajaan negeri dapat terlibat untuk membantu menjadikan kejohanan itu lebih meriah dan besar."