Golf Terbuka Malaysia: Saingan tetap dijalankan

Oleh Bernama 15 Februari 2020 6
Golf Terbuka Malaysia: Saingan tetap dijalankan
Persatuan Golf Malaysia (PGM) hari ini mengesahkan Kejohanan Golf Terbuka Malaysia 2020 akan berlangsung mengikut jadual iaitu dari 5 hingga 8 Mac di Kelab Kota Permai Golf & Country, walaupun pada masa ini negara berhadapan dengan penyakit COVID-19.

Presidennya, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, berkata PGM bersama pihak promoternya, Winning Matters Sdn Bhd, telah mengambil beberapa langkah seperti yang menyatakan Kementerian Kesihatan, bagi memastikan kesihatan dan keselamatan kesemua yang terlibat.

“Saya ingin mengulangi bahawa keselamatan dan kesihatan pemain, pegawai, sukarelawan dan penonton yang hadir ke Terbuka Malaysia 2020 kekal menjadi keutamaan kami.

“Sehubungan dengan itu, kami menjemput semua rakyat Malaysia untuk alami bersama acara golf professional di Kelab Kota Permai Golf & Country,” katanya.

Mohd Anwar berkata, langkah-langkah tersebut termasuklah saringan suhu, pengedaran penutup hidung dan mulut, kemudahan perubatan, pegawai perubatan, cecair pembasmi kuman untuk tangan dan kemudahan membasuh tangan yang mencukupi.
 
Selain daripada itu, Mohd Anwar menegaskan bilik hospitaliti akan diberikan pengudaraan yang mencukupi, selain kawasan awam akan kerap dibersihkan.

Disember lepas, selepas empat tahun PGM mengumumkan Terbuka Malaysia 2020 akan kembali dianjurkan dengan edisi ke-55 kejohanan menawarkan hadiah wang tunai ASD1 juta (RM4.14 juta), dan juara akan membawa pulang wang tunai ASD180,000 (RM745,416).

Pemain dari India, Anirban Lahiri, menjuarai Terbuka Malaysia di Kelab Kuala Lumpur Golf & Gountry (KLGCC) 2015.

Semalam, Asian Tour dan European Tour mengesahkan Kejohanan Maybank yang sepatutnya berlangsung di Kelab Golf Saujana & Country dari 14-19 April telah ditangguhkan akibat COVID-19.

Tentang Penulis

Bernama

Komen