Golf Terbuka AS: Giliran pemain remaja rampas kedudukan pendahulu 

Oleh Shaiful Shamsudin 20 September 2020 34
Golf Terbuka AS: Giliran pemain remaja rampas kedudukan pendahulu 
Matthew Wolff menyamai rekod Kejohanan Golf Terbuka Amerika Syarikat (AS) untuk berada di landasan yang tepat melakar sejarah apabila mendahului pusingan ketiga dengan dua pukulan.

Wolff merakamkan lima di bawah par 65 pagi tadi untuk menyamai catatan terendah yang pernah dihasilkan dalam kejohanan di Winged Foot itu. 

Pemain Amerika berusia 21 tahun itu menyerlah di sembilan lubang awal kempen di New York tersebut, menjadikannya lima birdie sebelum mempamerkan prestasi tekal dalam baki lubang terakhir dengan melakar bogey dan birdie.

Wolff merampas kedudukan pendahulu walaupun hanya dua kali melakukan pukulan di 14 kawasan fairway, tetapi dia masih mampu mencapai lima di bawah par untuk berkelebihan dua pukulan. 

65 pukulan yang dilakarnya mengulangi prestasi Justin Thomas dalam pusingan semalam bagi menghampiri rekod baru di Winged Foot.

Sekiranya dia menang, Wolff bakal muncul sebagai pemain pertama yang meraih Terbuka AS dalam kemunculan pertamanya bagi mengulangi pencapaian Francis Ouimet pada 1913.

"Saya berasa tidak senang duduk.

"Ini adalah Terbuka AS dan saya sedang mendahului. 

"Saya perlu cuba mengawal kegugupan agar kekal tenang, saya tidak mahu terlalu memikirkannya malam ini. 

"Saya hanya mahu melalui hari yang baik, ini hanyalah pertandingan golf walaupun berprestij," kata pendahulu remaja itu. 

 

Sementara itu, Bryson DeChambeau (70) menghuni tangga kedua selepas mencatat tiga di bawah par selain Louis Oosthuizen (68) yang menjadi pemain tunggal dengan aksi di bawah satu par. 

DeChambeau memulakan aksi dengan dua bogey berturut-turut sebelum menemui rentak di lubang 7. 

Pemain AS itu kemudian membuat birdie di lubang 16 dan 17 tetapi hanya mampu mencapai bogey di lubang terakhir. 

Pemenang edisi 2010, Oosthuizen, juga bergelut dengan empat birdie dengan dua bogey.

Hideki Matsuyama (70), Xander Schauffele (70) dan Harris English (72) masing-masing di paras par untuk satu pukulan di depan Rory McIlroy (68).

Namun, sembilan lagi pemain -- termasuk penndahulu semalam, Patrick Reed -- pasti mahu melupakan aksi buruk pusingan ketiga itu.

Juara Masters 2018 itu berbekalkan satu pukulan di bawah par di sembilan lubang awal sebelum tergelincir berikutan catatan 77 untuk tiga di atas par, sekali gus terikat di tangga ke-11.

Reed melakukan enam bogey dalam sembilan lubang terakhirnya selain bogey berganda di lubang 11, di mana dia berusaha memulihkan permainannya.

Thomas meneruskan saingan dengan empat pukulan di atas par sementara pemain nombor satu dunia, Dustin Johnson, sekali lagi serba tidak menjadi apabila merakamkan 72 untuk lima di atas par.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen