Pemain golf Amerika Syarikat, Pat Perez, dalam laluan terbaik memburu kejuaraan Kejohanan Golf Klasik CIMB 2017 apabila kekal menjadi pendahulu dalam pusingan ketiga dengan catatan 8 pukulan di bawah par 64, hari ini.

Dalam pusingan kedua, Perez cemerlang mengungguli kedudukan dengan catatan 7 pukulan di bawah par 65 meskipun mengharungi penangguhan aksi selama empat jam akibat hujan lebat di sebelah petang.

Bagaimanapun, dia memperbaiki catatan dengan lebih baik dalam pusingan ketiga dengan melakukan 64 pukulan 8 di bawah par.

Perez yang membuat penampilan kelima saingan Klasik CIMB ini konsisten pada sembilan pukulan pertama dengan tiga birdie tanpa bogey.

Lubang ke-13 dianggap paling sukar untuknya melakukan pukulan terbaik apabila mendapat bogey pertama sebelum memperbaiki aksi dalam lima lubang terakhir dengan mencatat empat birdie untuk kekal sebagai pendahulu.

Secara keseluruhan, Perez berjaya mencatat 21 di bawah par 195 bermula dalam pusingan pertama pada Khamis lalu.

“Saya tahu apa yang perlu dilakukan.

"Ia sesuatu yang bagus buat saya untuk perlu terus agresif demi mempertahankan kedudukan pendahulu.

"Saya perlu beraksi baik dalam lima lubang pertama atau saya perlu melakukan sesuatu.

"Saya tidak begitu kisah dengan apa yang akan terjadi," kata Perez.

Pemain Malaysia, Gavin Kyle Green, tidak kurang hebatnya untuk menjadi pemain terbaik negara selepas turut memperbaiki aksi untuk berada di kelompok 44 dengan catatan 3 di bawah par 69.

Danny Chia pula menjadi pemain kedua terbaik di kelompok 62 apabila menyamai par dengan 72 pukulan.

Nicholas Fung mempamerkan aksi hambar untuk berada di kedudukan 72 selepas sekadar mencatat 3 di atas par 75 dengan satu double bogey.

Whee Kim dari Korea Selatan paling mencuri tumpuan apabila menjadi pemain pertama berjaya melakukan pukulan hole-in-one pada lubang ke-15, sekaligus memenangi BMW 740LE Hybrid.