Pemain golf Australia, Marc Leishman, muncul juara Kejohanan Golf Klasik CIMB 2018 selepas mengatasi tiga pencabar terdekat dengan keputusan 26 bawah par 262 pukulan dalam pusingan terakhir di TPC Kuala Lumpur, hari ini.

Pemain berusia 34 tahun itu terlebih dahulu berkongsi kedudukan pendahulu bersama wakil Amerika Syarikat, Gary Woodland, dan pemain India, S. Shunbakar, dengan 19 par bawah par 197 selepas berakhir pusingan ketiga semalam.

Namun, pukulan yang tidak menjadi daripada Woodland dan Shunbakar di lubang ke-10 hingga 15 sehingga mencatat tiga bogey memberi kelebihan kepada Leishman untuk terus mendahului.

Leishman memulakan aksi dengan cemerlang selepas melakukan empat birdie berturut-turut di lima lubang pertama untuk terus konsisten sehingga pukulan terakhir bagi mencatat tujuh bawah par 65 dalam pusingan akhir.

Keputusan itu membolehkannya mengatasi dua pencabar terdekat di tangga kedua dan ketiga, Emiliano Grillo (Argentina) dan Chesson Hadley (Amerika Syarikat), dengan kelebihan lima pukulan bagi menoktahkan gelaran juara edisi kali ini.

"Saya sering berdepan kehilangan rentak di sembilan lubang terakhir.

"Justeru, kali ini saya berazam untuk tidak mengulanginya dan ia berhasil," ujar Leishman.

Sementara itu, faktor keletihan menjejaskan kesihatan pemain negara, Ben Leong, sehingga menjadikan aksinya tidak konsisten untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-54 dengan tujuh bawah par 281 secara keseluruhan.

Jelasnya, faktor kesihatannya kurang memberangsangkan selepas mengharungi lima kejohanan berturut-turut sebelum ini sehingga menjejaskan momentumnya dalam pusingan akhir.

Pemain profesional Jelajah Asia berkenaan bermula baik untuk mengatasi lubang ke-10, 11 dan 12 yang sebelum ini menjadi badi kepadanya bagi mencatat dua birdie pertama sebelum pukulannya tersasar di lubang ke-13 untuk memperoleh double bogey bagi menamatkan aksi dengan keputusan menyamai par 72 pukulan.

"Aksi saya tidak menentu sepanjang minggu ini. Saya banyak melakukan birdie dan bogey.

"Inilah golf, kami tidak akan beraksi baik pada setiap hari.

"Saya akan terus pandang ke hadapan biarpun situasi boleh menjadi lebih baik mahupun buruk," kata Ben.