Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 disarankan agar berjuang bersama-sama dan melupakan perbezaan kelompok program demi mencapai sasaran.

Daripada 178 atlet yang disenaraikan ke Gold Coast, 74 atlet adalah daripada kem persiapan terbaik negara, Program Podium, manakala selebihnya berada di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN), termasuk skuad para kebangsaan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berasakan salah satu elemen yang berupaya membantu Malaysia untuk mencapai sasaran adalah dengan berkongsi semangat sebagai kontinjen yang berjuang di bawah satu bendera.

"Kami melihat bahawa sebaik sahaja mereka dipilih menyertai kontinjen, tanggungjawab mereka adalah untuk mencapai sasaran dan jika dilihat ketika Sukan SEA 2017, sasaran 111 pingat emas diletakkan dan kami mengutip 145 emas. Ia mungkin hadir daripada barisan atlet yang tidak diletakkan sasaran sebelum itu.

"Jadi, diharapkan semua atlet melakukan pencapaian lebih baik berbanding sebelum ini," katanya.

Shapawi juga berkongsi pandangan peribadi terhadap cabaran yang dihadapi kontinjen dalam mencapai sasaran minimum tujuh pingat emas di samping keperluan menamatkan kempen dalam kelompok 10 terbaik.

"Kemungkinan juga kami mampu untuk mendapatkan kedudukan 10 terbaik dan ia juga boleh menjadi sangat sukar tetapi apa yang penting, perlu lebih baik berbanding empat tahun lalu.

"Agak munasabah untuk menetapkan sasaran melebihi enam emas pada 2014," tambahnya.