Sukan Komanwel Gold Coast menjadi pentas buat atlet negara membuktikan kemampuan mengharumkan nama Malaysia, tidak terkecuali atlet menembak negara walaupun skuad kali ini antara yang terkecil dalam sejarah penyertaan ke Sukan Komanwel.

Skuad menembak negara sekadar membariskan sembilan atlet bagi tiga jenis acara pistol, rifle dan trap di Gold Coast.

Ia jumlah yang kecil berbanding edisi empat tahun lalu yang menyaksikan seramai 22 atlet menembak mewakili negara di Glasgow, Scotland.

Faktor utama pengurangan itu adalah disebabkan edisi 2018 hanya menawarkan acara individu sedangkan acara berpasukan tidak dipertandingkan.

Walaupun barisan kali ini antara terkecil, penembak yang akan membawa cabaran negara dalam Sukan Komanwel edisi ke-21 itu tetap mempunyai impian besar.

"Saya meletakkan sasaran dalam penampilan kedua saya dalam Sukan Komanwel untuk mempamerkan persembahan terbaik. Pingat akan hadir jika dapat menampilkan bidikan terbaik," kata penembak negara, Ezuan Nasir Khan.

Sandaran utama untuk menuai pingat di Gold Coast tampak diletakkan di bahu Alia Sazana Azahari, Ezuan, Johnathan Wong dan Benjamin Khor.

Ia susulan keempat-empat penembak negara itu mempamerkan bidikan cemerlang dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu menerusi kejayaan merangkul emas.

Bagi tiga penembak veteran, Nur Suryani Taibi, Bibiana Ng dan Hasli Izwan Amir Hassan, pengalaman luas mereka di peringkat tertinggi kini ditagih untuk turut menghadirkan kilauan pingat.

"Saya tidak suka untuk meletakkan sasaran yang terlalu tinggi kerana ia mungkin mendatangkan impak yang positif dan ada kalanya ia menjadi negatif," kata Suryani.

"Sukan menembak ini 80 peratus adalah penguasaan mental ketika beraksi."

"Saya mahu memberikan yang terbaik dan berharap perkara di Glasgow tidak berulang. Berdasarkan latihan, saya berada di tahap terbaik," kata Hasli.

Gold Coast jadi misi penting skuad menembak untuk menebus kekecewaan di Glasgow empat tahun lalu apabila hanya mampu meraih sebutir gangsa dan mungkin tidak mustahil untuk mereka mengulangi pencapaian terbaik dua pingat emas di New Delhi pada 2010.