Gimnas artistik negara, Tan Fu Jie, perlu memastikan sekurang-kurang kedudukan tiga teratas dalam tiga kejohanan Piala Dunia tahun depan bagi memastikan slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlet berusia 23 tahun itu cemerlang mempertahankan pingat emas acara kekuda berpelana dalam Sukan SEA Filipina awal bulan ini.

Bagaimanapun, tiada istilah rehat buatnya apabila perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi kejohanan Piala Dunia di Melbourne, Australia pada Ferburari ini selain di Doha, Qatar dan Baku, Arebaijan (Mac).

Hanya tiga atlet terbaik dalam setiap kejohanan itu akan berpeluang merebut tiket ke Tokyo.

"Saya perlu meningkatkan darjah kesukaran dan memperkemaskan rutin saya.

"Tumpuan saya ketika ini adalah Piala Dunia dan harap-harap dapat ke Sukan Olimpik," katanya.

Dalam pada itu, Fu Jie turut mengakui banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi mencabar atlet bertaraf dunia dalam acara kekuda berpelana.

"Perkara paling sukar ialah kejohanan itu kerana pada masa ini, acara kekuda berpelana disertai ramai atlet terbaik yang mahu layak (ke Sukan Olimpik) menerusi Piala Dunia.

"Sudah pasti akan ada halangan tetapi saya masih ada peluang," tambahnya.


Editor: Muzaffar Musa