Pemain golf negara, Gavin Kyle Green, mahu terus melebarkan kariernya apabila memasang impian untuk muncul anak Malaysia pertama beraksi dalam saingan Jelajah PGA Eropah menjelang 2018.

Gavin kini berada di landasan terbaik dalam kariernya selepas memenangi Jelajah Asia pertamanya dalam Kejohanan Masters Taiwan, Isnin lalu, sepanjang karier bergelar pemain profesional sejak 2015.

Ranking dunianya juga meningkat dari tangga ke-325 pada 2016 dan kini melonjak ke kedudukan ke-157.

Justeru, dia mahu menyusun langkah baru dalam perjalanan kariernya apabila menyimpan hasrat untuk muncul sebagai pemain Malaysia sulung yang beraksi dalam Jelajah Eropah.

"Ia adalah siri jelajah terbaik. Jika layak, saya berpeluang untuk menimba pengalaman dan mungkin akan mengubah perspektif saya dalam permainan," katanya yang akan menghadapi saingan PGA Klasik CIMB 2017 di TPC Kuala Lumpur, Khamis depan.

Namun, ia bukan laluan mudah buat pemain berasal dari Kuala Lumpur itu.

Untuk beraksi dalam Jelajah Eropah, Gavin perlu mengharungi pusingan kelayakan PGA Eropah sebelum perlu menempatkan diri dalam kelompok 35 terbaik.

"Ia memang impian saya sejak kecil lagi untuk beraksi dalam Jelajah Eropah. .

"Anda harus faham, ia pentas yang menjadi tumpuan pemain terbaik. Peluang bersaing dengan mereka adalah sesuatu yang berbeza.

"Saya perlu berada dalam keadaan terbaik secara mental dan fizikal untuk mengharunginya," katanya lagi.