MALAYSIA 2 THAILAND 4

Skuad futsal kebangsaan muncul naib juara Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018 selepas tewas 2-4 kepada penyandang juara, Thailand, pada aksi final, hari ini.


Dalam perlawanan yang berlangsung di Gelanggang Olahraga (GOR) Universiti Negeri Yogyakarta, Indonesia itu, barisan anak buah Chiew Chun Yong turun dengan misi membalas dendam selepas kalah kepada lawan sama di pentas final 2017.

Namun, segalanya serba tidak menjadi apabila skuad negara ketinggalan 1-2 sebelum rehat yang menyaksikan pasukan Gajah Putih itu menguasai hampir keseluruhan perlawanan.

Babak kedua menyaksikan pasukan negara cuba bangkit, namun Thailand terus menggandakan asakan sebelum Malaysia berjaya menambah satu jaringan manakala pasukan lawan menyumbat dua lagi gol untuk memadamkan sisa-sisa perjuangan pemain negara dan sekadar berpuas hati di tempat kedua.

Pasukan kebangsaan yang muncul juara Kumpulan A, melangkah ke perlawanan akhir setelah menumpaskan Vietnam 5-4 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam waktu permainan sebenar.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Harimau Malaya dalam Kejohanan Futsal AFF sejak ia dipertandingkan pada 2001 ialah muncul naib juara empat kali, termasuk tahun lalu yang berlangsung di Vietnam, setelah kecundang 3-4 dalam masa tambahan kepada Thailand dalam perlawanan akhir.

-- BERNAMA