Skuad futsal negara diletakkan bersama pasukan tuan rumah, Taiwan, dalam Kumpulan A ketika saingan hebat dijangka daripada Kumpulan B yang menempatkan Jepun dan Uzbekistan dalam Kejohanan AFC dari 1 hingga 11 Februari nanti.

Dalam undian 16 pasukan terbaik yang berlangsung hari ini, Malaysia diundi untuk bersama tuan rumah dalam kumpulan itu yang turut dihuni Vietnam dan Bahrain.

Ia memberi sedikit kelegaan kepada Malaysia apabila terlepas cabaran juara tiga kali, Jepun, yang bersama naib juara tahun lalu, Uzbekistan, Tajikistan dan Korea Selatan dalam Kumpulan B.

Juara bertahan, Iran, yang juga pemegang kejuaraan paling banyak, iaitu 11 kali, diundi dalam Kumpulan C untuk bersama-sama Iraq, China dan Myanmar.

Negara jiran, Thailand, pula mengetuai Kumpulan D, bersama Kyrgyzstan, Lubnan dan Jordan.

Untuk rekod, Malaysia hanya perlu memastikan slot dua teratas, untuk memperbaiki rekod terbaik pada peringkat kumpulan dalam 11 penampilan sebelum ini.