Juara Tour de France empat kali, Chris Froome, mengatakan sukan berbasikal "di posisi yang lebih bagus ketika ini" tetapi masih dipandang serong berikutan pernah dipalit skandal doping.

Kejayaan Lance Armstrong, yang memenangi tujuh gelaran berturut-turut dalam perlumbaan di Perancis itu dari 1999, telah membongkar skandal doping terbesar dalam sejarah berbasikal sepanjang kariernya.

Atlet Amerika Syarikat itu akhirnya dilucutkan kejuaraannya pada Oktober 2012 dan tahun berikutnya, mengakui menggunakan bahan terlarang.


Nama-nama berprofil tinggi lain juga didapati bersalah dalam era yang sama, lantaran itu bintang Team INEOS tersebut mengakui sukan berkenaan harus bekerja keras untuk membersihkan reputasinya.

Dalam temu bual di Instagram, bekas pemain kriket England, Kevin Pietersen, mengajukan soalan mengenai amalan doping yang meluas dalam berbasikal.

Froome menjawab: "Kami masih perlu membuktikan diri (membersihkan imej). Paling tidak selama 15 tahun dan kami masih membicarakannya. Ia telah mencetuskan banyak kerosakan.

"Zaman itu telah banyak merosakkan sukan ini tetapi saya benar-benar percaya bahawa sukan ini telah berubah.

"Saya tidak fikir saya mampu memenangi Tour de France sebanyak empat kali jika ia tidak berubah. Saya rasa sukan ini berada di tempat yang bagus ketika ini.

"Sudah tentu, ia satu cabaran untuk menangani pandangan negatif dan perlu menjawab soalan yang sama tahun demi tahun kepada orang yang meraguinya, yang tidak akan percaya dengan keupayaan yang dibuktikan.

"Tetapi pada saat yang sama, apa yang boleh kami lakukan? Kita perlu terus berusaha dan kami tahu sedang melakukan perkara yang betul. Kami tidak perlu menyembunyikan apa-apa pun."


"Tour de France", "Chris Froome"