Felicia Mikat semakin fokus setelah selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bakal membuat perhitungan terakhirnya untuk musim 2017 dengan menyertai Kejohanan Sukan Remaja Asia di Dubai, Isnin depan.

Bezanya, persiapan Felicia untuk menghadapi kejohanan itu berbanding Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017, September lalu, adalah dia tidak lagi perlu membawa buku dalam sesi latihan untuk mengulang kaji pelajarannya.

Pelajar aliran perdagangan itu selesai menduduki peperiksaan itu pada bulan lalu dan mengakui mentalnya kini lebih fokus untuk berlari dalam 100 dan 200 meter.

Sasarannya kini adalah untuk cuba mengatasi catatan terbaik peribadi dalam acara 100m T13, 14.12 saat, yang dilakar ketika beraksi di laman sendiri, September lalu.

"Kawan-kawan di sekolah hanya perlu fokus kepada pelajaran tetapi saya perlu fokus kepada dua perkara. Ia memang memenatkan," katanya.

Meskipun Felicia hanya meraih tiga gangsa dalam Sukan Para ASEAN 2017, namun jurulatih, Tony Sawan, tetap optimis dengan kemampuan Felicia untuk mencipta kejutan.

"Kami menyasarkan catatan terbaik peribadi dan pada masa sama, kami mengharapkan ia dapat menghasilkan pingat tanpa mengira warna," ujar jurulatih itu.

Selain Felicia, skuad olahraga para yang akan bersaing dalam Kejohanan Sukan Remaja Asia di Dubai itu turut diwakili Eddy Bernard, Muhammad Zul Haizat Zainal Abidin serta S. Thavaneshwaran.