Felda akan bantu Ridzuan berlatih di luar negara

Oleh Staff Writer 4 Oktober 2016 5
 Felda akan bantu Ridzuan berlatih di luar negara
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, memberi jaminan Felda akan menyediakan segala bantuan yang diperlukan atlet Paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, termasuk latihan di luar negara susulan kejayaan anak Felda itu mengharumkan nama negara.

Ridzuan, yang mencatat sejarah apabila muncul atlet pertama negara meraih pingat emas acara 100 meter T36 dalam Sukan Paralimpik Rio, bakal menjalani latihan pusat di luar negara untuk mengekalkan prestasinya.

Difahamkan, belum ada sebarang ketetapan negara mana yang menjadi pilihan untuknya berlatih, namun ia sudah pasti memerlukan perbelanjaan yang besar.

"Apa yang boleh kami bantu, kami akan memberikan bantuan. Apa yang diperlukannya, kami akan cuba untuk memberikannya supaya dia dapat menyertai kejohanan pada masa depan.

"Kami mendoakan supaya dia dapat mempertahankan pingat emas yang telah dimenanginya di Rio baru-baru ini," katanya.

Terdahulu, kejayaan bersejarah Ridzuan dirai oleh Felda di Menara Felda di ibu negara, hari ini.

Menerima sumbangan RM50,000, anak kakitangan Felda Rimba Mas, Padang Besar ini turut dilantik sebagai ikon sukan Felda.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Felda dan saya ingin membawa keluarga pergi ke Makkkah," kata Ridzuan.

Sementara itu, bapa kepada Ridzuan, Puzi Mat Isa, melahirkan penghargaan yang telah diberikan kepada anaknya dan menyokong jika Felda meneruskan niat murni untuk mencungkil bakat baru dalam bidang sukan di kalangan anak-anak Felda.

"Kami sebagai anak peneroka Felda, mengucapkan terima kasih dan kami pun menyokong jika ada usaha untuk mencungkil lagi bakat-bakat di kalangan anak-anak Felda," kata Puzi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen