Fauzan ungguli Jamboree Fire X Ride 2016

Oleh Ammar Hakim 12 Disember 2016 19
Fauzan ungguli Jamboree Fire X Ride 2016

Pelumba basikal kebangsaan, Muhd Fauzan Lutfi, muncul juara dalam Kejohanan Berbasikal Fire X Ride Jamboree 2016 di Alor Gajah, Melaka, kelmarin.

Fire X Ride yang memasuki edisi keenam menampilkan laluan mencabar sejauh 41 kilometer di sekitar daerah Alor Gajah.

Acara itu telah menarik 1,200 peserta, termasuk 80 peserta antarabangsa dari Singapura, Filipina, Vietnam, Thailand dan Kanada.

Antara kategori yang dipertandingkan dalam edisi kali ini adalah terbuka lelaki dan wanita, remaja, veteran, super mama, fat bike dan heavyweight.

Selain itu, edisi kali ini juga menampilkan kelainan dengan mengadakan acara sampingan seperti pertandingan push bike untuk kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah.

Fauzan yang mewakili pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) unggul dalam kategori terbuka lelaki untuk membawa pulang wang tunai RM700 manakala Azian Alias menjuarai kategori terbuka wanita.

Kategori remaja diungguli pelumba KHS Factory Team, Zamirul Adlisham dan saingan kategori veteran diterajui oleh pelumba SBS Giant, Ah Yong.

Kategori super mama, fat bike dan heavyweight masing masing diungguli Mariam Kamal dari pasukan XIRLOLO, Razif Salleh dari pasukan The Secret Society MIC serta pelumba TCT, Mohd Syafiq Salmin

Fire X Ride, acara berbasikal yang telah diwujudkan pada tahun 2010, sudah menjadi sebahagian acara mempromosikan bandar Alor Gajah sebagai destinasi pelancongan melalui aktiviti sukan.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen