Atlet pecut wanita negara, Siti Fatimah Mohamad, berharap peluang yang lebih terbuka dapat diberikan kepadanya untuk menyertai lebih banyak kejohanan luar negara musim depan walaupun tidak lagi berlatih bersama skuad kebangsaan sejak tahun lalu.

Fatimah dan S. Komalam Shally sudah tidak lagi bersama skuad olahraga kebangsaan dan mula berlatih sendiri sejurus berakhir saingan Sukan SEA 2017.

Kekal dengan pendirian untuk terus menjalani program latihan sendiri musim depan, Fatimah berharap Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) lebih terbuka dalam memberi peluang kepada mereka untuk menyertai kejohanan luar negara walaupun perlu menggunakan peruntukan sendiri.

Ia disebabkan dia hanya menyertai tiga kejohanan tahun ini, iaitu Terbuka Malaysia, Kejohanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Siri Terbuka di Singapura.

"Saya harap pihak KOM dapat berikan kami peluang bertanding dalam kejohanan luar. Jika perlu guna pembiayaan sendiri pun tidak mengapa tetapi lepaskan kami.

"Sebenarnya tahun ini memang ada yang mahu menyertai kejohanan tetapi corak latihan membuatkan kami berasa 50/50 untuk keluar. Jadi, saya mengambil keputusan untuk bertanding dalam saingan siri di Singapura serta kejohanan terbuka biasa yang lain," kata Fatimah.

Selain ratu trek negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, yang diberi tumpuan bagi acara 100 meter, Fatimah juga dilihat antara pelari yang boleh kembali diberi keutamaan dengan catatan terbaiknya ketika ini adalah 12.00 saat.

"Catatan terbaik saya tahun ini adalah 12.00s dan ia tidak begitu memberangsangkan. Namun, ia masih boleh dikekalkan dan lihat nanti apa berlaku tahun depan."