Barisan kejurulatihan skuad berbasikal negara memilih seorang pelumba berusia 17 tahun untuk menggantikan jaguh utama, Azizulhasni Awang, dalam melengkapkan trio pecut berpasukan ke Kejohanan Piala Dunia, bulan depan.

Pelumba yang akan menggantikan Azizulhasni dalam acara pecut berpasukan lelaki pastinya bakal menggalas tugas besar untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh jaguh dunia itu.

Namun, jurulatih pelapis skuad trek berbasikal negara, Muhammad Edrus Md Yunos, mengesahkan bahawa nama pelumba muda, Fariz Haikal Mohd Kadir, kini berada dalam radar memandangkan atlet dari Kedah itu dilihat berpotensi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Piala Dunia nanti.

"Buat masa ini, nama yang kami cadangkan untuk menggantikan Azizulhasni adalah Fariz Haikal. Dia melepasi ujian yang kami jalankan sebanyak dua kali. Dia juga mencapai sasaran yang kami mahukan.

"Fariz juga melepasi catatan masa yang ditetapkan oleh barisan jurulatih dan hampir menyamai catatan Azizulhasni, jadi kami cuba untuk menerapkannya ke dalam pasukan ini," kata Edrus.