Pesilat negara, Faizul Nasir, sedar risiko digugurkan daripada skuad kebangsaan susulan tersisih ke Kejohanan Pencak Silat Asia Edisi Kelima di Yanji, China hujung bulan ini.

Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) memutuskan untuk tidak menyenaraikan Faizul ke China sejurus berakhir Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember lalu.

Dia tidak cergas untuk beraksi kerana mengalami kecederaan ketika bertarung dengan peserta tuan rumah, Dines Dumaan, dalam acara tanding Putra Kelas B.

Situasi itu menyaksikannya tidak dapat memenuhi indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan PESAKA setelah turut gagal mempertahankan pingat emas dalam temasya berkenaan.

"Pertamanya, mengenai KPI memang kami tidak boleh buat apa-apa. Cuma, saya perlu lakukan rawatan segera untuk pulih.

"Selebihnya, keputusan diserahkan kepada persatuan dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menilai sendiri menerusi kejohanan tahun ini atau saingan sebelum ini. Ia bergantung kepada persatuan dan MSN," katanya.

"Bagi saya, ia dianggap bukan rezeki saya. Saya perlu positif dan jika diberi peluang, saya rasa sudah bersedia."