Pesilat lelaki negara, Muhammad Faizul Nasir, enggan mensia-siakan peluang jika terpilih ke dalam Program Podium untuk terus mempertingkatkan prestasi tanpa dibuai kejayaan dalam Sukan SEA lalu bagi fokus kepada misi dalam Sukan Asia 2018 pula.

Faizul adalah antara atlet yang dicadangkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) untuk berada dalam Program Podium selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam Sukan SEA untuk mempertahankan pingat emasnya.

Meskipun keputusan rasmi masih belum diputuskan, pesilat Kelas B Putra itu tetap bersyukur kerana pencapaiannya setakat ini sekurang-kurangnya berjaya menarik perhatian jurulatih dan Pesaka untuk terus mempercayai kemampuannya.

Bagi Faizul, Program Podium telah membuktikan keberkesanan membentuk atlet terbaik seperti Muhd Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohd Nasir.

“Saya berasakan Program Podium ini memberikan program yang sesuai bagi membuat persiapan menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang. Jika saya terpilih, saya akan memberikan yang terbaik untuk Malaysia,” kata Faizul.

Al-Jufferi yang patah pergelangan tangan sewaktu Sukan SEA, Ogos lalu, masih lagi berhati-hati dengan sebarang latihan setakat ini.

Dia tidak boleh melakukan sebarang aksi yang melibatkan tangan dengan terlalu keras sehingga pulih sepenuhnya.

“Buat masa ini, saya hanya boleh menggenggam sahaja. Tiada latihan intensif boleh dilakukan,” kata Al-Jufferi.