Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM), Fadzli Johan, kecewa tiada ruang buat badan induk itu membela diri berikutan penggantungan yang dikenakan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Status ISAM selaku badan induk sukan luncur ais negara menjadi persoalan selepas dibatalkan pendaftaran oleh PJS berikutan kegagalan menghantar maklumat tahunan sejak 2008 sehingga 2017.

Menurut Fadzli, sejak mengambil alih kepimpinan ISAM pada 2015, maklumat itu telah dikemaskini tahun lalu dan PJS bersetuju untuk menangguhkan pembatalan berkenaan menerusi satu surat bertarikh 1 Jun 2018.

Begitupun, ISAM tidak menerima sebarang perkhabaran manakala Persekutuan Luncur Ais Malaysia (MISF) menerusi satu kenyataan di media sosial hari ini menjelaskan mereka kini badan induk baru sukan berkenaan.

Difahamkan MISF telah didaftarkan 26 Disember lalu dengan diterajui bekas Presiden ISAM, Laila Parimalar Abdullah.

"MISF mengatakan ISAM telah dibatalkan pada 1 November dan lebih manis lagi, kami tidak menerima sebarang makluman. Tiada pembelaan yang diberikan kepada kami, surat tunjuk sebab turut tidak diberikan mengenai pembatalan ISAM," kata Fadzli.

Situasi yang berlaku ketika ini mengundang risiko buat atlet negara sekiranya ingin menyertai kejohanan antarabangsa.

Ini kerana ISAM akan dilucutkan keahlian oleh Kesatuan Luncur Ais Dunia (ISU) tetapi badan induk baru memerlukan sekurang-kurangnya tempoh dua tahun untuk mendapat status ahli gabungan penuh.

"Saya sangat kecewa kerana ISAM dibatalkan. Kami memiliki empat acara peringkat dunia yang bakal disertai atlet negara sementara pada bulan Januari, atlet-atlet negara akan ke Montreal, Kanada bagi menyertai Kejohanan Remaja Dunia," tambahnya.