Pesilat wanita negara, Siti Rahmah Mohd Nasir, menggambarkan kejayaannya meraih emas dalam Kejuaraan Pencak Silat Dunia di Singapura baru-baru ini sebagai penutup segala duka selepas kegagalan dalam Sukan Asia Indonesia, September lalu.

Siti Rahmah adalah satu-satunya atlet wanita yang membawa pulang pingat emas dari Singapura, malah ia merupakan kejuaraan dunia keempat buat dirinya.

Walaupun mengakui emas yang dimenangi di Singapura itu belum setanding dengan emas Sukan Asia, pesilat berumur 31 tahun itu tetap bersyukur sekurang-kurangnya penutup 2018 berakhir dengan nota gembira.

"Saya berjaya menebus kekecewaan dalam Sukan Asia dengan kemenangan pingat emas di Singapura," katanya.

Siti Rahmah muncul salah seorang penerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) 2018 yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Secara keseluruhan, skuad pencak silat negara menerima jumlah keseluruhan SHAKAM sebanyak RM380,000.

"Saya sangat bersyukur dengan habuan SHAKAM. Habuan ini serta kejayaan dalam Kejuaraan Dunia adalah penutup terbaik buat sukan silat bagi tahun 2018," ujarnya lagi.