Pasukan muay thai Daerah Kota Kinabalu (PMDKK) muncul juara keseluruhan Kejohanan Ekspo Sabah yang berlangsung di Penampang baru-baru ini.

PMDKK yang dikendalikan Jonathan Quan Chi Chuen dinobat sebagai juara keseluruhan selepas mengumpul dua pingat emas menerusi Mohd Fendi Salleh (45kilogram) dan Shazreena Nurfarahin Awang Muhamad (57kg).

Selain itu, PMDKK yang turut mendapat khidmat jurulatih, Randall R.F Kadayum dan
Mariana Mohd Maulana, juga merangkul tiga perak menerusi Yan Jia Chi (45kg), Evly Chrislye Amal (54kg) serta Tang Yip Hau (67kg).

Selain Ekspo Muay Thai Sabah, turut diadakan secara bersama ialah Fight Fest yang menampilkan acara K1 serta tinju pertunjukan.

Seramai 174 peserta, termasuk 110 atlet muay thai dan 64 atlet kick boxing telah menyertai acara besar-besaran yang diadakan hujung minggu lalu itu.

Pengerusi penganjur yang juga jurulatih muay thai Sabah, Cyrille Dhilon Tahing, berkata penyertaan kali ini adalah yang terbesar sejak ia mula diperkenalkan beberapa tahun lalu.

"Selain itu, kejohanan ini juga adalah pentas bagi atlet berusia 15 hingga 20 tahun untuk terpilih beraksi dalam Sukan Sabah (SAGA), Disember depan," katanya yang turut menerima anugerah jurulatih terbaik dalam Majlis Anugerah Sukan Sabah di Kota Kinabalu, baru-baru ini.