Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow, menyasarkan tiga gelaran dalam Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA), tahun depan selepas gagal meraih sebarang kejuaraan musim ini.

Eain yow gagal meraih sebarang gelaran juara dalam Siri Jelajah PSA tahun ini kerana lebih mengutamakan persiapan dua temasya penting iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Pernah mengungguli Terbuka Australia dan Terbuka Northern Territory tahun lalu, atlet berusia 20 tahun ini menyifatkan sudah tiba masa untuknya kembali merebut sekurang-kurangnya tiga kejuaraan tahun depan.

Terbaru, Eain Yow sekadar menamatkan saingan dalam pusingan ketiga dalam Terbuka CIB-Black Ball 2018, awal bulan ini apabila tewas kepada pemain nombor satu dunia, Mohamed Elshorbagy dari Mesir.

"Saya telah meraih pengalaman yang berkualiti dalam kejohanan utama serta berdepan pemain dalam kedudukan terbaik dunia. Jadi saya berharap dapat meraih keputusan yang positif pada tahun akan datang," kata Eain Yow.

Konsisten di ranking 42 dunia tahun ini, pastinya Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menuntut peningkatan lebih baik daripada pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 ini bagi memperbaiki kedudukan sekurang-kurangnya di ranking 25 dunia, tahun depan.

"Saya telah meraih pengalaman berdepan lawan dalam kelompok 40 dunia, ia akan menjadi bekalan untuk memperbaharui kedudukan saya dalam ranking dunia tahun hadapan."