Tiada rombakan ketara dalam pasukan futsal lelaki negara apabila jurulatihnya, Chiew Chun Yong, hanya menyenaraikan dua muka baru bagi menghadapi Kejohanan Futsal AFF di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, bermula esok hingga 3 November ini.

Saiful Nizam Mohd Ali dan Muhd Farikh Khabibor muncul pemain baru -- berbanding skuad Sukan SEA Kuala Lumpur -- untuk berada dalam senarai akhir 14 pemain.

Menurut Chun Yong, pemilihan itu berdasarkan prestasi semasa pemain selain penyesuaian taktikal yang digunakan bagi menghadapi lawan dalam Kumpulan B.

"Ia bergantung kepada persembahan semasa dan berdasarkan strategi yang saya terapkan, pemain boleh sesuaikan dan boleh ikut.

"Ini adalah risiko yang anda perlu ambil. Kalau ada pilihan, sudah tentu saya akan membawa 16 pemain. Tetapi disebabkan beberapa masalah, saya perlu mengambil 14 pemain.

"Saya akan bekerja dengan 14 pemain itu. Ia menjadi sebab pemilihan perlu dilakukan," katanya.

Sementara itu, ketua pasukan, Mohd Firdaus Razali, berharap rakan sepasukan dapat memberi fokus berdepan Laos dan Timor-Leste bagi melayakkan diri ke separuh akhir.

Kemaraan ke peringkat empat terbaik sudah cukup buat pasukan negara bagi menempah slot ke Kejohanan AFC di Taiwan pada Februari tahun depan.

Selain itu, Firdaus meyimpan harapan mahu membawa pasukan negara layak ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak 2010.

"Harapan saya adalah untuk berada dalam kelompok empat terbaik untuk melayakkan diri ke Kejohanan AFC.

"Selepas itu, mungkin kami akan mencari kejuaraan buat kali pertama. Selama kita sertai Kejohanan AFF ini, kita tidak pernah menjuarainya dan ke final pun sudah lama kita tidak masuk," katanya.

Pencapaian terbaik Malaysia sejak kejohanan itu mula dipertandingkan pada 2001 ialah muncul naib juara sebanyak tiga kali. Thailand pula merupakan juara 12 kali daripada 13 edisi.