Penggunaan pil menguruskan badan kian menular dalam kalangan atlet Asia Tenggara apabila semua kes doping Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 termasuk penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee, yang dikesan positif sibutramine.

Keinginan mereka untuk nampak cantik memakan diri kerana sibutramine kebiasaannya terkandung dalam pil menguruskan badan.

Persekutuan Sukan SEA (SGF) sudah melantik ahli jawatankuasa siasatan berbeza untuk setiap kes dengan seorang atlet Thailand menjadi yang terawal untuk tampil menjalani proses perbicaraan, Isnin depan.

"Ahli jawatankuasa siasatan telah menghubungi atlet dan surat rasmi juga sudah dikeluarkan.

"Salah seorang daripada atlet akan dibicarakan pada 30 Oktober ini.

"Kami masih mendapatkan tarikh yang sesuai untuk dua atlet lagi sebelum diputuskan oleh SGF," kata Pengerusi Jawatankuasa Doping dan Perubatan SGF, Datuk Dr SS Cheema.

Yan Yee mempunyai tempoh hingga esok untuk membuat keputusan sama ada mengaku kesalahan atau menjalani perbicaraan.

Proses perbicaraan itu akan diadakan melalui aplikasi Skype.

Sibutramine bukan sejenis perangsang dan atlet yang dikesan positif berdepan penggantungan maksimum dua tahun.

"Bentuk hukuman bukan terletak di tangan SGF.

"Terpulang kepada jenis bahan terlarang yang diambil, kalau bukan jenis perangsang, maka hukumannya lebih ringan," jelasnya.

Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) akan membuat keputusan hukuman dan menghantar cadangan kepada Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) untuk memuktamadkannya.

Mengambil produk yang mengandungi sibutramine adalah satu kesalahan kerana kandungan ini tersenarai dalam kategori bahan terlarang walaupun tujuannya adalah untuk kecantikan.