Doping: PABM tidak akan berdiam diri lagi

Oleh Penulis Jemputan 19 Oktober 2018 71
Doping: PABM tidak akan berdiam diri lagi
Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak bimbang dan bersedia menerima apa jua keputusan 17 sampel A yang sedang diuji selanjutnya di makmal New Delhi, India.

Pengerusi Jawatankuasa Anti-doping PABM, Gerald Rentap Jabu, tidak menolak akan ada pertambahan kes doping apabila ujian lebih spesifik dilakukan di New Delhi terhadap 17 sampel A atlet yang terbabit dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak baru-baru ini.

Jelasnya, PABM menyokong ujian susulan berkenaan bagi memastikan tiada lagi atlet yang akan terlepas sekiranya masih ada yang mengambil bahan terlarang.

Malah, mereka tidak lagi akan berdiam diri selepas kes doping membabitkan atlet angkat berat ibarat tiada berpenghujung.

"Yang paling mustahak, kami mahu memastikan atlet Malaysia bebas doping. 

"Lagipun, ujian itu (doping terhadap atlet Sukma) belum habis dijalankan, jadi kami bersedia berdepan hakikatnya demi membersihkan gejala doping dalam kalangan atlet Malaysia. 

"Kalau tidak, tiada gunanya atlet dihantar menyertai kejohanan luar negara, ia boleh menjatuhkan maruah negara, itu perkara paling menyakitkan hati kami," kata Gerald.

Meskipun dua atlet angkat berat Sukma Perak didapati positif doping, kejohanan Tertutup Angkat Berat Malaysia di Sabah Disember depan tetap diadakan dengan ujian doping akan dilakukan terlebih dahulu terhadap atlet.

"Ia kejohanan tertutup dan hanya atlet yang menerima jemputan akan bertanding. 

"Oleh itu, kami masih mengharapkan penyertaan daripada persatuan negeri," ujarnya. 
        

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen