Pasukan Donic Malaysia dipaksa berhempas-pulas untuk menewaskan Union Klang dalam separuh akhir kategori wanita Liga Ping Pong Malaysia 2017 yang berkesudahan 4-2 dan menanti mereka adalah Star Elite yang turut mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir.

Aksi perseorangan pertama menyaksikan bekas juara kebangsaan 2016, Ting Hie Phin, yang mewakili Union Klang, mudah mengatasi pemain Donic Malaysia, Leow Yi Wenn, dalam pertarungan tiga set untuk kedudukan 1-0.

Namun, Donic Malaysiabangkit untuk menang kesemua baki tiga aksi perseorangan, masing-masing menerusi Karen Lynn Dick, Tee Ai Xin dan Ho Ying untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Persaingan semakin sengit apabila Union Klang merapatkan kedudukan 3-2 selepas Tey Ka Ying menyumbangkan mata.

Kemuncak perlawanan terpaksa ditentukan dalam aksi terakhir acara beregu wanita dan pukulan kilas Karen Lynn dalam set terakhir menoktahkan kejayaan buat Donic Malaysia dengan kemenangan 4-2.

"Kami memang sudah membuat persiapan rapi memandangkan pencabar dalam kejohanan ini bukan calang-calang.

"Ini sesuatu yang bagus kerana kami berlatih bersama-sama dan saya memiliki keyakinan untuk menang," kata Karen.

Menurut jurulatih Donic Malaysia, Choo San Giam, pula: "Kami yakin untuk menang dalam aksi final esok. Star Elite mempunyai pemain import dari China dan ia pasti pertembungan yang sengit."

Satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan Star Elite menentang Hokkien Youth Klang yang menyaksikan Star Elite unggul menumpaskan lawan 4-0 untuk menempah tiket ke perlawanan akhir.