Pemain ragbi negara, K. Dineshwaran, sanggup mengambil risiko terbang semula ke Tokyo di sebalik wabak Covid 19 masih belum reda dengan harapan untuk melakukan persiapan awal untuk menghadapi Liga Tertinggi Ragbi Jepun sekaligus memberi keyakinan buat majikan, Hino Red Dolphins untuk menyambung kontraknya.

Dineshwaran atau mesra disapa 'Dugro' yang terbang semula ke Jepun 18 September lalu sudah mula menjalani latihan bersama pasukannya setelah selesai menjalani kuarantin.

Kesatuan Ragbi Jepun telah pun mengumumkan jadual dan format baru yang akan dipertandingkan bagi musim depan, dan saingan akan bermula 16 Januari depan.

Baginya, dia perlu bersiap awal menyedari kecergasannya bakal jadi pemisah buat dirinya, dan aksi pra musim akan bermula penghujung November ini.

"Situasi Covid-19 di Jepun hampir sama dengan Malaysia, tetapi segala situasi dalam keadaan yang teratur dan pasukan kami dibenarkan untuk membuat persiapan," katanya.

Ia bakal menjadi tahun penting buat Dineshwaran untuk mempamer aksi terbaik mengambil kira kontrak tiga tahunnya akan tamat pada 2021.

Tahun ini, saingan liga dihentikan separuh jalan susulan penularan pandemik Covid-19, dengan pasukannya hanya mampu meraih empat mata dan menduduki tangga ke-14 selepas enam perlawanan.

"Saingan akan bermula tahun depan dan perlawanan pertama akan berlangsung 16 Januari, kami akan mengadakan perlawanan persahabatan sebelum saingan bermula."