Diana Bong belum fikir soal persaraan

Oleh Penulis Jemputan 20 Oktober 2017 48
 Diana Bong belum fikir soal persaraan
Atlet wusyu negara, Diana Bong, menegaskan dia masih bersama dengan skuad kebangsaan meskipun ramai pihak sebelum ini tersilap tafsir niatnya untuk bersara di pentas Sukan SEA, Ogos lalu

Tamat temasya KL2017, Diana pernah meluahkan ia merupakan penampilan terakhirnya dalam Sukan SEA, namun ia disalahertikan sebagai persaraan oleh sesetengah pihak. 

Tegas Diana, dia masih bersemangat untuk menabur bakti bersama pasukan kebangsaan biarpun usianya kini sudah mencecah 32 tahun. 

"Pada masa itu (Sukan SEA), saya ditanya adakah saya akan terus beraksi dalam Sukan SEA. Saya mengatakan ia adalah penampilan terakhir saya.

"Tetapi, itu tidak bermaksud saya akan bersara, sebaliknya merupakan penampilan saya dalam Sukan SEA. Sehingga kini, saya masih meneruskan latihan lagi," kata atlet dari Sarawak itu. 

Diana sudah terlibat dengan sukan wusyu sejak 1994 dan telah menyumbangkan empat pingat emas dalam empat edisi yang berbeza. 

Tugas Diana juga bukan sahaja sebagai atlet, malah sebagai mentor untuk mendidik atlet-atlet baru dalam membantu mereka meneruskan kegemilangan sukan wusyu negara. 

"Saya tidak meletakkan sebarang limit sebab untuk menjadi atlet bukannya mudah. 

"Selagi boleh beraksi, saya akan berjuang. 

"Saya akan menjadi mentor dan pada masa yang sama, saya boleh menjadi pemangkin semangat kepada atlet muda untuk terus berjuang dan tidak berputus asa," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen