Wakil Fiji, Daveta, menyerlahkan kekuatan sebenar dengan menewaskan pasukan tempatan, Borneo Eagles, 26-10 untuk menjuarai Kejohanan Ragbi 10s Cobra, di Stadium MBPJ, hari ini.

Daveta, yang diterajui ketua pasukan, Sakiusa Gavidi, memperoleh try pada awal babak pertama menerusi Joeva Kuricuva dengan coversion disempurnakan Timoci Tavuto.

Selepas itu, Borneo Eagles memperkemaskan rentak permainan dan membalas menerusi try Gafatasi William Sua serta Benjamin Petaia Nee-Nee sebelum rehat.

Kebangkitan yang diharapkan oleh Borneo Eagles, bagaimanapun, tidak kekal lama apabila Daveta tampil dengan aksi lebih kemas pada babak kedua.

Try oleh Laveni Tani di samping kepakaran Lemeki Tulele menyempurnakan conversion memastikan Daveta meraih kejuaraan kedua selepas 2011, dengan keputusan 26-10.

Selain itu, kejayaan ini juga menebus kehampaan Daveta yang tumpas dalam saingan di Singapura minggu lalu.

"Seluruh pasukan menunjukkan komitmen yang bagus, daripada barisan depan sehingga benteng di belakang.

"Kami tewas dalam final pada minggu lalu dan saya memberitahu bahawa mereka tidak boleh kalah lagi. Saya yakin dengan mereka," kata kapten Daveta, Sakiusa Gavidi.

Bagi aksi plate, Nnk Northlink melakar kemenangan mudah ke atas Panthers Blowpipe 24-5.

Sementara itu, Charis Wolfpack muncul juara kategori bowl selepas menang ke atasWestern Province 14-10.