Pemain golf negara, Danny Chia, sedang menyesuaikan diri dengan set golf baru dalam misi mengatasi pencapaian terbaik tangga ke-13 menjelang pusingan pertama Kejohanan Golf Klasik CIMB di TPC Kuala Lumpur, esok.

Danny adalah antara tiga pemain yang akan menggalas cabaran Malaysia dalam kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM30 juta itu.

Pemain berusia 45 tahun itu sedang menyesuaikan diri dengan set golf baru untuk mendapatkan pukulan terbaik.

Apa yang menarik, dia sudah menguji set baru ini sejak berada di TPC Kuala Lumpur, minggu lalu.

"Saya telah menguji beberapa peralatan tetapi masih tidak pasti saya akan menggunakannya dalam kejohanan itu. Saya agak selesa dengan lapangan golf ini kerana saya bermain banyak pusingan di sini pada tahun ini.

"Prestasi semasa saya juga agak baik pada tahun ini, saya membuat sedikit pertukaran teknik pukulan dan ia berfungsi baik dalam beberapa kejohanan. Saya gambira untuk itu," katanya.

Selain Danny, cabaran Malaysia akan turut digalas Nicholas Fung dan Gavin Kyle Green.

Mereka akan berdepan cabaran pemain ranking keempat dunia, Justin Thomas dari Amerika Syarikat selaku juara dua kali selain pemain ranking ketiga dunia, Hideki Matsuyama dari Jepun.

"Gavin mempunyai peluang yang baik di sini kerana dia berada di bawah kelab ini. Dia berlatih sejak minggu lalu dan dia mempunyai kelebihan bermain di lapangan golf ini," tambah Danny.