Bekas pelumba basikal negara, Datuk Ng Joo Ngan, berasakan Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom tidak perlu tergesa-gesa pulang ke tanah air biarpun tidak dapat berlatih sepenuhnya di Melbourne, Australia, angkara wabak novel koronavirus (Covid-19).

Justeru, tiada keperluan untuk mewujudkan kluster baru di Velodrome Nasional, Nilai, dengan Majlis Sukan Negara (MSN) boleh mengekalkan tiga cadangan awal yang membabitkan Bukit Jalil, Bukit Kiara dan Jeti Kuah, Langkawi, untuk dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Usaha itu bertujuan membenarkan atlet bawah Program Road to Tokyo (RTT) kembali berlatih.

Joo Ngan juga menaruh kepercayaan kepada jurulatih negara, John Beasley, bagi mempersiapkan program yang sesuai buat atlet negara dalam tempoh perintah berkurung di Australia ketika ini.




"Kalau mereka kembali berlatih di sini sekalipun, mana ada kejohanan untuk disertai dalam masa terdekat.

"Sebagai jurulatih, John Beasley perlu berhati-hati dalam merangka latihan," katanya ketika dihubungi.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pula enggan mengambil risiko apabila perlu melalui proses yang rumit untuk membawa pulang prospek emas Sukan Olimpik Tokyo 2021 negara itu ke tanah air.

Ia susulan polisi kerajaan yang kini menyekat kemasukan warga asing ke Malaysia bagi mengelak penularan pandemik itu dan kebetulan beasley merupakan warga Australia.

PKBM akan membentangkan perancangan dalam mesyuarat RTT di samping 11 lagi persatuan sukan kebangsaan, Selasa ini.

"Mereka tidak boleh balik sebab Kerajaan Malaysia masih tidak membenarkan kemasukan orang luar.

"Selama ini pun latihannya dikelolakan oleh John, kalau jurulatihnya tidak dapat datang, tiada gunanya," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abdul Wahab.

Sebelum ini, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) menyediakan satu pelan kluster latihan atlet yang kemudiannya dihantar kepada KBS untuk tindakan susulan.