Antara atlet yang sedang menanti untuk dikalungkan pingat dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 adalah atlet angkat berat Pahang, Muhammad Syafiq Iqwan Mohd Zahimi.

Bagaimanapun, penundaan temasya itu ke tahun depan gara-gara pandemik Covid-19 memberikannya ruang untuk menggapai cita-cita bergelar ahli Bomba terlebih dahulu.

Syafiq Iqwan akan membuat penampilan keduanya dalam Sukma di Johor.

Dia akan beraksi dalam kategori 105kg selepas meraih tangga kelima dalam edisi di Perak dua tahun lalu.

Atlet kelahiran Kuala Rompin itu mahu membuktikan saiz badan yang besar bukan penghalang untuk mengikut jejak bapanya sebagai ahli Bomba.

"Bapa saya seorang ahli Bomba. Rakan-rakan memanggil saya Syafiq Bomba kerana ramai yang bernama Syafiq ketika di sekolah, jadi mereka memanggil saya Syafiq Bomba," katanya menerusi perbualan video bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

"Ahli Bomba memiliki disiplin yang amat tinggi kerana mereka perlu cekal dan tidak berputus asa dalam segala hal.

"Ia boleh diterapkan dalam sukan angkat berat.

"Ia juga merupakan cita-cita saya sejak zaman sekolah.

"Harapan saya agar pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dapat memberikan peluang buat sukan angkat berat sama seperti sukan-sukan lain," katanya lagi.