Barisan atlet bukan hanya tidak dapat turun berlatih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, malah ia memberi kesan kepada pemain bola jaring negara, Nur Fariha Abdul Razak, untuk menjalani pemulihan daripada kecederaan lutut (ACL).

Mac lalu, Nur Fariha menjalani pembedahan lutut selepas mengetepikan kecederaannya tiga bulan, sebelum beraksi dalam Sukan SEA Filipina 2019, namun pengorbanan itu dianggap berbaloi apabila skuad negara mempertahankan pingat emas.

Tambah pemain berusia 25 tahun itu, keadaannya semakin pulih selain mengakui proses pemulihan yang dilaluinya agak lambat ekoran rutin rawatan fisioterapi yang terbatas ketika dunia dihimpit krisis wabak koronavirus baru (Covid-19).




"Keadaan saya bertambah baik walaupun perkembangannya sedikit terbantut. Kalau tidak ketika ini sudah banyak aktiviti yang lebih keras tetapi akan dilakukan tetap kerana PKP, saya hanya buat setakat yang boleh sahaja di rumah," katanya ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Nurul Syakirah Zulkifly, hari ini.

Menurutnya lagi, Kejohanan Bola Jaring Asia 2020 yang sepatutnya berlangsung di Korea Selatan, Jun depan, masih tiada sebarang kemas kini untuk ditunda ketika keadaan penularan pandemik itu memaksa seluruh dunia mengawal pergerakan.

Baginya, ini merupakan peluang terbaiknya membantu skuad negara andai kejohanan tersebut ditunda ke tahun depan.

"Saya harap ia ditunda supaya saya sempat berlatih dan beraksi semula," katanya.