Organisasi sukan menyambut baik pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh Perdana Menteri, Tan Muhyiddin Yassin, hari ini.

Segala perincian kepada keputusan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) berkenaan pembukaan sektor sukan dan rekreasi fasa dua dijangka akan dijelaskandalam satu sidang media petang esok.

Walaupun kelonggaran dijangka akan diberikan kepada aktiviti sukan dalam masa terdekat, organisasi sukan tidak mahu terburu-buru sebaliknya akan mengambil pendekatan berwaspada dalam menetapkan langkah terbaik ketika wabak COVID-19 masih lagi belum reda sepenuhnya seperti yang dikongsikan bersama wartawan Nadi Arena, Haliza Hamzah dan Syakirah Zulkifly.

"Kami tidak mahu peningkatan penularan (pandemik itu) hingga boleh memaksa kita kembali mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti sebelum ini.

"Kami akan sokong langkah kerajaan, kita sendiri perlu patuhi SOP yang ditetapkan," kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria.

Reaksi hampir sama turut disuarakan Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok apabila berkata: Kami tidak mahu terburu-buru dan akan memutuskan persiapan yang baik.

"Kami perlu pastikan semua pihak dan atlet terlebih dahulu bersedia daripada segi mental.

"Kami akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan bilakah program akan dimulakan buat atlet program elit dan pelapis."