Covid-19: Kerjasama semua pihak dituntut

Oleh Shaiful Shamsudin 22 April 2020 57
 Covid-19: Kerjasama semua pihak dituntut
Kerjasama tinggi daripada semua pihak menjadi tuntutan utama dalam usaha Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) menjayakan cadangan prosedur operasi standard (SOP).

Langkah itu telah pun digerakkan apabila menantikan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membenarkan atlet negara kembali berlatih ketika dunia terkesan dengan wabak koronavirus baru (Covid-19).

"Atlet perlu bergantung kepada latihan sendiri. 

"Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini adalah situasi sukar buat atlet utama negara memandangkan mereka sudah membuat persiapan sepanjang tahun.

"Ia bergantung kepada kemudahan yang mereka ada bagi mengekalkan kecergasan dan sentuhan istimewa mereka. 

"Sekiranya mereka memiliki gimnasium atau gelanggang persendirian, tidak mengapa. 

"Tetapi saya percaya kebanyakannya hanya tinggal di bilik sendiri, malah ada yang berkongsi bilik. 

"Mereka perlu pastikan terus cergas dan kekalkan sentuhan," kata legenda sukan negara, Tan Sri M. Jegathesan.

Dalam masa sama, pemerhati sukan, Dr Mohamad Faithal Hassan, berpandangan SOP itu boleh diperkasakan bagi meningkatkan langkah keselamatan. 

"Mungkin MSN dan ISN boleh menyediakan kemudahan pengangkutan untuk atlet ke tempat latihan.

"SOP sedia ada perlu lebih teratur dan diperketatkan selain tidak membenarkan atlet bergerak sendirian, cuma terhad di perkampungan sukan," katanya. 

Tambahnya: "Dengan penurunan statistik kes positif dan kematian, sekarang adalah masa terbaik untuk memohon kelulusan daripada MKN dan Kerajaan Malaysia supaya mereka yang terlibat dapat menyambung latihan secara tertutup."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen