Covid-19: KBSS sedia bantu persatuan sukan, atlet terjejas

Oleh Willie Jude 12 Mei 2020 56
Covid-19: KBSS sedia bantu persatuan sukan, atlet terjejas
Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) sedia membantu persatuan sukan serta atlet yang terjejas berikutan penularan wabak Covid-19 di negeri itu.

Menteri KBSS, Phoong Jin Zhe, memahami kesulitan yang dihadapi persatuan dan atlet ketika krisis Covid-19 dan pihaknya akan mencari jalan untuk membantu mereka. 

"Saya tegaskan bahawa kementerian saya sentiasa sedia membantu kerana keutamaan kami adalah memastikan prestasi atlet-atlet kita tidak terjejas dan terpengaruhi.

"Dalam masa krisis, kami kerjasama dan bersatu bagi memastikan pembangunan sukan terus maju dan kekal cemerlang," katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau, semalam. 

Phoong turut berkata beliau telah mengadakan sesi dialog secara atas talian bersama lebih 38 pemimpin persatuan sukan di seluruh Sabah.

Katanya, dialog itu membincangkan mengenai isu-isu yang dihadapi persatuan sukan khususnya ketika krisis pandemik itu.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk rayuan agar sukan tertentu dibuka semula dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, rayuan peruntukan tambahan bagi menampung kerugian akibat pembatalan aktiviti sukan, rayuan kebenaran khas diberi kepada atlet-atlet tertentu untuk menjalani latihan dan beberapa perkara berkaitan lain. 

"Saya telah mengarahkan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah untuk mengumpul pandangan dan maklum balas daripada semua untuk saya cuba usahakan bantuan diberi kepada semua pasukan yang mengalami kesusahan," katanya lagi. 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen